IPOH, 10 Jun – Kerajaan Perak akan memanggil pengurusan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) susulan isu bantahan oleh penduduk terhadap pembinaan projek kolam udang di kawasan hutan bakau Kuala Bagan Tiang di Parit Buntar.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri akan menyiasat berhubung status dan pemilik tanah serta tarikh diluluskan agensi berkenaan kepada sebuah syarikat swasta seperti didakwa.

Katanya kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara itu selain mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk nelayan.

“Kita akan memanggil pengurusan PPPNP untuk melihat perkara ini. Kita mahu melihat siapa punya tanah terbabit, bila diluluskan serta status pengusaha tanah berkenaan.

“Sehingga saya dapat semua perkara itu, baru boleh kita berbincang kerana kita mahu melakukannya secara sah (mengikut undang-undang).

“Semua faktor harus diambil kira termasuk faktor nelayan, PPPNP serta pengusaha terlibat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia di sini, pada Khamis.

Semalam Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menggesa campur tangan Menteri Besar Perak berhubung isu pembinaan projek kolam udang di kawasan hutan bakau Kuala Bagan Tiang.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak dilaporkan berkata bantahan penduduk berhubung projek tersebut dikhuatiri memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Menurut Mujahid, dua projek itu yang masing-masing berkeluasan 47 dan 200 ekar yang diluluskan PPPNP kepada Syarikat Makmur Cemerlang Sdn. Bhd. itu turut menjejaskan pendapatan nelayan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Penegasan bahawa tanah tersebut adalah milik kerajaan yang telah diserahkan kepada PPPNP pada tahun 2019 dan 2015.

“Namun sekiranya berlaku ketidakseimbangan ekosistem kepada alam sekitar dan pendapatan nelayan terjejas, kerajaan negeri akan melakukan kajian semula bagi menjaga kepentingan penduduk,” kata Razman menerusi satu kenyataan.