IPOH, 16 DIS: Kerajaan Negeri mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada semua penjawat awam di Perak yang akan dibayar pada akhir bulan ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan Perak 2021 berkata ia sebagai tanda penghargan dan terima kasih kepada penjawat awam di negeri ini.

“Saya akui sumbangan dan komitmen penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan yang melaksanakan tugas dan amanah tanpa mengira waktu.

“Pembayaran RM 1,000 turut dipanjangkan kepada semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Gutu I’dadi, Guru Thanawi, Guru Tadika Islam, Tok Batin dan Pekerja Sambilan Harian (PSH),” katanya.

Dalam pada itu, katanya belanjawan 2021 mengunjurkan defisit sebanyak RM154.0 juta berlandaskan andaian ekonomi yang suram akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab dan komited untuk mengembeling usaha bagi mengangani masalah tersebut.

“Musibah seperti ini tidak pernah kita alami dan tidak pernah kita jangka.

“Justeru, kita perlu bertekad menanganinya, sekalipun perlu membiasakan diri dengan norma-norma baharu,” katanya.