KUALA LUMPUR, 27 APRIL : Kerajaan menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT 2021) kepada seramai 232,319 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM69.9 juta.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia sebagai usaha berterusan dilaksanakan kerajaan bagi memelihara kebajikan pekebun kecil yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada industri getah negara.

“Pembayaran RM600 seorang pada kadar RM300 untuk bulan Disember 2021 dan bulan Januari tahun 2022,” kata Muhyiddin dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra tahun 2021 di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat Risda pada Selasa.

Katanya, dalam usaha untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan menerusi penanaman getah, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Risda pada tahun ini telah memperluaskan skop Bantuan Tanam Semula Getah.

“Pekebun kini boleh membuat permohonan untuk tanah kosong atau tanah selain bertanam getah.“Keluasan tanah yang melayakkan bantuan ini adalah minimum 0.1 hektar hingga maksimum 5.0 hektar.

“Usaha ini bukan sahaja dilihat kepada peningkatan ekonomi pekebun kecil, malah kerajaan menyasarkan pengeluaran getah negara dapat ditingkatkan dengan memastikan keluasan tanaman getah kepada 1.1 juta hektar serta mengurangkan tanah terbiar yang tidak diusahakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menyediakan Skim Insentif Lateks (SIL) yang melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM500 satu hektar.

“Skim ini diperkenalkan untuk menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dan meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding penghasilan skrap,” ujarnya. – AWANI