KUALA LUMPUR: Tiga beradik terpaksa hidup dalam ketakutan apabila bapa tiri mereka mencabul serta melakukan perbuatan di luar tabii.

Bagaimanapun, perbuatan keji kontraktor berusia 52 tahun itu terbongkar selepas seorang daripada mangsa mengadukan hal tersebut kepada abang serta ibu saudara mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asistem Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa berusia 14 tahun itu membuat laporan semalam dan mendakwa suspek mencium, memeluk, meraba serta memasukkan jari ke dalam kemaluannya di sebuah rumah di Bandar Baru Selayang dekat sini.

Katanya, perbuatan itu dilakukan sejak Februari tahun ini hingga Oktober lalu.

“Ayah tirinya melakukan perkara itu ketika ibu mereka sedang tidur dan tiada di rumah.

“Selain itu, dua kakaknya masing-masing berusia 20 dan 15 tahun turut dicabul suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

Susulan itu, katanya, lelaki berkenaan ditahan polis kira-kira 12.40 tengah malam tadi di sekitar Selayang.

“Perintah reman akan dibuat di Mahkamah Selayang dan kes disiasat di bawah Seksyen 377C KK/Sek 14(a) Akta Kesalahan seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.- UTUSAN ONLINE