KUALA LUMPUR, 1 SEP – Bantuan Khas COVID-19 (BKC) akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 Sept dan dijangka selesai pada 10 Sept.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan hari ini.

Katanya beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan lepas dan berikutan itu, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

“Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.

BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan. – AWANI