IPOH, 9 FEB – Bekas penjawat awam didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM25,500, tiga tahun lalu.

Hakim, S Indera Nehru membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan peguam tertuduh, yang sebelum ini memohon Akuan Rundingan mengikut Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah.

Herman Ibrahim, 46, bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mengaku bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima rasuah RM7,500 dan RM18,000 pada November 2018.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM20,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda, untuk setiap kesalahan.

Mahkamah yang sama bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh daripada empat lagi tuduhan di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar RM45,000 kepada kerajaan Malaysia bagi pemulangan semula semua harta yang disita daripada tertuduh ketika operasi iaitu kedai dobi dan barang kemas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil.

Pada 17 Julai lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600.

Pada 13 Ogos pula, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di tempat dan waktu berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.