KUALA LUMPUR, 3 FEB : Seorang bekas Pengerusi Mara Incorporated (Mara Inc) bergelar “Datuk” akan didakwa dengan 22 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Rasuah Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu memaklumkan individu tersebut telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, tengah hari tadi.

“Pendakwaan adalah di bawah Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

“Datuk berusia 65 tahun dikatakan telah menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh Mara Inc,” memetik kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini.

Siasatan SPRM berhubung skandal itu bermula setelah pendedahan dibuat portal The Sydney Morning Herald.

Portal itu melaporkan seorang individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Australia telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc. – AWANI