IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat.

Sehubungan itu, katanya, rakyat akan mendapat manfaat seperti yang diharapkan sebelum ini.

“Saya berpandangan Belanjawan 2021 kerajaan Persekutuan adalah belanjawan yang sangat baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika membentang Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul mengumumkan perbelanjaan bagi tahun depan sebanyak RM322.5 bilion, sekaligus menjadi belanjawan terbesar negara.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sekarang ini adalah masa untuk kerajaan Persekutuan melaksanakan intipati belanjawan itu.

“Amat penting bagi Kerajaan memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar,” ujarnya.