KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada peringkat dasar akan diluluskan ataupun tidak akan diketahui pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Pengundian Belanjawan 2021 itu, yang dijadualkan selepas selesai penggulungan oleh Kementerian Kewangan, akan menjadi tumpuan utama persidangan hari ini.

Bagaimanapun, penggulungan itu hanya akan dilakukan selepas baki sembilan menteri yang masih belum membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing berbuat demikian.

Antara kementerian itu termasuk Kementerian Perpaduan Negara; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Mac lepas.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan itu untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.

Selain itu, menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu kawalan sempadan antarabangsa antara yang dijangka dijawab dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri susulan insiden serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.

Insiden itu, yang mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli, 54 tahun, dan melibatkan Sarjan Norihan Tari, 39 tahun, yang cedera parah, akan turut diperincikan pada sesi tersebut.

Isu salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan perkembangan mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 turut bakal disentuh oleh Ahli-Ahli Parlimen hari ini.