IPOH, 23 Sept – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam menerusi Belanjawan 2022 yang bakal dibentang nanti.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata cadangan itu wajar diberi perhatian sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang tetap memberikan perkhidmatan terbaik walaupun negara berdepan situasi pandemik COVID-19 dan perubahan tampuk pemerintahan beberapa kali.

Menurutnya lagi ini juga kerana bonus yang dinikmati pekerja bukan kerajaan dilihat lebih tinggi berbanding penjawat awam yang sudah lebih 10 tahun hanya menerima bantuan khas kewangan.

“Kami menuntut agar kerajaan juga memberikan pertimbangan yang luar biasa pada kali ini supaya memberi bonus dan bukan lagi bantuan khas kewangan.

“Pada hari ini gaji kami belum selesa. Walaupun pihak di luar mengatakan penjawat awam berada dalam keadaan selesa akan tetapi itu ketika situasi pandemik.

“(Realitinya) sebelum pandemik melanda negara, pekerja bukan kerajaan menikmati gaji dan bonus yang lebih tinggi daripada kami. Sebaliknya penjawat awam pada lebih 10 tahun hanya menerima bantuan khas kewangan RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sahsiah Murni Derma Darah Sempena Ulang Tahun Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Ke-58 di sini pada Khamis.

Selain itu Adnan memberitahu sudah menjadi amalan pada setiap 10 tahun sejak tahun 1922 yang mana kerajaan memperkenalkan sistem baharu dalam perkhidmatan awam.

Justeru beliau meminta untuk tahun 2022 kerajaan dapat memperkenalkan juga sistem baharu perkhidmatan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya lagi Cuepacs turut memohon agar kerajaan dapat memperuntukkan sejumlah wang dalam Belanjawan 2022 bagi pelaksanaan sistem saraan baharu kepada penjawat awam yang lebih komprehensif dengan memberikan gaji yang lebih selesa dan perbelanjaan adil.

Pada masa sama Adnan berkata pihaknya juga mengusulkan supaya kerajaan tidak menghapuskan cuti kakitangan kerajaan yang terpaksa bertugas menguruskan COVID-19.

“Kami mohon pada kerajaan supaya cuti ini tidak dilupuskan selepas tiga tahun malah hendaklah melangkaui lebih lima tahun sehinggalah penjawat awam itu mampu mengambil cuti.

“Cuti ini juga boleh dibayar secara token atas cuti yang tidak boleh dihabiskan kerana mereka ini diarah bekerja. Maka kerajaan boleh mengambil contoh negara Singapura yang mana cuti ini dibayar bagi tempoh yang tidak boleh dihabiskan,” jelas beliau.

Sementara itu kata beliau pihaknya turut mengusulkan cadangan lain kepada semua ketua di pelbagai jabatan kerajaan dapat menyerap 35,000 penjawat awam berstatus kontrak kepada jawatan tetap bagi yang telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun.