IPOH, 14 Sept – Golongan belia diingatkan untuk tidak menjadikan situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini sebagai halangan untuk memajukan diri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata sebaliknya mereka harus sentiasa berusaha untuk mencipta peluang walau dalam keadaan sukar.

Katanya walau apa juga keadaan, golongan belia harus bergerak ke hadapan dan meningkatan potensi diri yang juga seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

“Saya selalu menekankan agar golongan muda harus bijak dalam mencipta peluang. Sekiranya kita berjaya mencipta peluang yang sesuai dengan situasi perkara itu akan mampu memberi manfaat kepada semua pihak.

“Apa yang berlaku, termasuk situasi COVID-19 ada hikmahnya. Sesuatu inovasi itu mampu dicetuskan daripada kolaborasi strategik yang akhirnya mampu menjadikan seseorang itu lebih kreatif.

“Justeru golongan muda diingatkan untuk tidak statik sebaliknya harus proaktif dan terus melangkah ke hadapan. Jangan disebabkan apa-apa cabaran yang melanda, menjadikan kita statik.

“Sekiranya golongan belia hanya statik dan pasif, sudah tentu akan merugikan diri sendiri. Dengan keadaan sekarang ini belia haus sentiasa melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Webinar Darul Ridzuan: Belia Inovatif Inspirasi Pembangunan Negara secara maya di laman Facebook Institut Darul Ridzuan, pada Selasa.

Dalam webinar itu, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzua, Dr Maisarah Ahmad bertindak sebagai moderator kepada tiga ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Strategi dan Inovasi MyInovasi.org, Ikhsan Adha Mhd Isa; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Lokein, Wan Mohd Hafiz Wan Idris serta Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Muhammad Asree Abdul Aziz.

Sementara itu Khairul Shahril berkata beliau menyambut baik penganjuran program maya berkenaan selain berharap program itu mampu memberi pemikiran baru kepada golongan belia dan seterusnya mampu mencipta limpahan peluang-peluang keusahawanan.