IPOH, 26 Ogos – Golongan belia turut bergerak aktif mewujudkan sukarelawan perkhidmatan bukan kesihatan ketika pandemik Covid-19.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin bertitah, mereka berperanan sebagai pemudah cara membantu petugas barisan hadapan di pusat-pusat pemberian vaksin.

Titah baginda, pasukan sukarelawan yang ditubuhkan menjadi platform membolehkan belia membantu kerajaan dalam program imunisasi kebangsaan di peringkat akar umbi.

“Pada masa yang sama, para belia terlibat aktif mewujudkan kumpulan sukarelawan gelembung sukan (sports bubble volunteer), berperanan memantau kelancaran serta panduan keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard ketika penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas di sini, semalam.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak terkecuali berperanan aktif memenuhi pelbagai peranan.

Baginda memberitahu, sehingga Julai 2021, 254 NGO berganding bahu memberikan sumbangan kepada 154,353 individu dengan sumbangan berjumlah hampir RM4 juta.