IPOH, 4 JULAI – Belum ada sebarang arahan berhubung kebenaran memulakan sesi persekolahan kepada negeri-negeri yang beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini termasuk Perak.

Sumber Jabatan Pendidikan negeri Perak memberitahu, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai arahan tersebut daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut sumber tersebut, sehubungan itu sesi persekolahan masih diteruskan mengikut pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Seperimana diputuskan kementerian sesi PdPR berjalan sehingga sesi cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini,” kata sumber tersebut.

Dalam pada itu difahamkan, sekolah-sekolah di bandar ini kekal mengadakan sesi pembelajaran secara PdPR sehingga pada penghujung Ogos termasuk melibatkan murid-murid calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurut beberapa guru yang terlibat pula, sebarang perubahan tentang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pula kebiasaanya akan dimaklumkan seminggu lebih awal bagi tujuan persediaan. -K! ONLINE