IPOH, 30 Jun – Setakat ini, polis Perak belum menerima sebarang laporan kejadian rompakan dilakukan individu yang menyamar sebagai penghantar sumbangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini belum ada lagi kejadian seumpama itu dilaporkan di Perak.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Perlu lebih berhati-hati, lebih peka dan lapor segera kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas hantaran yang tular di media sosial mengenai dakwaan kejadian rompakan yang dilakukan individu yang menyamar sebagai penghantar sumbangan.

Berdasarkan dakwaan itu, perompak dikatakan berpakaian kemas dengan membawa sekampit beras, kononnya sumbangan dari masjid, sebelum mengacu parang apabila mangsa membuka pintu untuk menerima sumbangan.

Hantaran tersebut turut mendakwa terdapat beberapa kes seumpama itu telah berlaku.