SHAH ALAM, 15 Jan – Seramai 30 ahli Majlis Pengurusan Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM) di seluruh negara menyertai bengkel strategi korporat dan hala tuju institut itu di sini mulai semalam hingga esok.

Presiden CILTM, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdulah, pemikiran di luar kotak amat penting dalam merealisasikan hala tuju CILTM.  

Beliau yang juga Yang Dipetua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak berkata, bengkel tiga hari untuk peningkatan dan relevan CILTM sebagai badan profesional untuk logistik dan pengangkutan.

Menurutnya, pendedahan dalam industri logistik dan pengangkutan di kalangan pelajarharus diutamakan sebagai ahli CILTM.

“Selain itu, CILTM akan sentiasa bekerjasama dengan pihak universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran para graduan.  

“Ahli Korporat CILTM juga akan ditengahkan sebagai rakan strategik dalam menjayakan Revolusi Perindustrian 4.0, Idea Bandar Lestari dan juga pasaran dalam Industri Halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mantan Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik (CILT) Antarabangsa Ts. Datuk Abd Radzak Abd Malek, berkata, penganjuran bengkel itu adalah tepat dan relevan dengan era pasca pandemik.

Menurutnya, ia jelas membuktikan kepentingan bidang logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan ke arah dunia pendigitalan yang mampan.  

“Bengkel ini juga dapat menjana percambahan idea dan pandangan antara ahli majlis CILTM yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang untuk menyatupadukan seluruh sumber dalam membangunkan industri strategik selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujarnya.