KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Ketua balai polis berpangkat Sub-Inspektor yang ditangkap dalam serbuan di sebuah balai di daerah Kajang disahkan positif dadah jenis ganja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pegawai berkenaan digantung kerja mulai hari ini.

“Pegawai itu turut direman selama dua hari bagi membantu siasatan manakala tujuh yang lain dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, keputusan itu diperoleh selepas kesemua lapan individu yang ditahan menjalani ujian saringan air kencing.

Azri berkata, siasatan akan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang terhadap kesalahan penggunaan dadah dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) manakala pihak JIPS menjalankan siasatan selari dengan tatatertib.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tiga anggota dan seorang pegawai polis berpangkat Sub-Inspektor ditahan semasa berpesta di dalam bilik sebuah balai polis di daerah Kajang bersama empat wanita awam berusia 21 hingga 37 tahun pada petang Selasa.

Dalam serbuan tersebut, anggota dan pegawai berkenaan dikatakan sedang leka berhibur sambil menikmati minuman keras dan air ketum. – SINAR HARIAN