BAGAN SERAI, 27 JUN :  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bagan Serai yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dikatakan mahu bertanding di Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kini dilihat berubah nada.

Ini apabila ketuanya, Ismail Ali berkata, pihaknya sedia menyokong mana-mana calon yang dipilih oleh parti termasuk jika penyandangnya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali kekal bertanding di kerusi berkenaan.

Menurut Ismail, Bersatu bahagian itu akan memastikan kemenangan siapa sahaja calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di sini.

“Bersatu Bagan Serai akan memberi sokongan seratus peratus kepada sesiapa sahaja yang dibawa oleh pucuk pimpinan negeri mahupun pusat sebagai calon di sini.

“Kami akan menyokong sekiranya pemimpin yang ada sekarang (Noor Azmi Ghazali ) atau kehadiran orang baru (Wan Ahmad Faysal) diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi menjadi calon Bersatu untuk bertanding di sini.

“Kita terima seadanya sekiranya itu yang diputuskan oleh pucuk pimpinan dan akan bekerja untuk memastikan kemenangan PN,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pendirian itu berbeza dengan kenyataan Setiausaha Bersatu bahagian itu, Datuk Abd. Muhaimin Abd. Rahman Nazri  sebelum ini yang menyatakan sokongan terhadap Wan Ahmad Fayhsal yang dikatakan mahu bertanding di sini.

Menurut Ismail, setakat ini, belum ada keputusan muktamad siapa calon Bersatu yang akan bertanding di Parlimen Bagan Serai.

“Apa yang kita nampak, masing -masing sedang  melobi untuk menjadi calon,” katanya.

Mengulas bantahan Pas Perak yang tidak bersetuju dengan hasrat Wan Ahmad Fayhsal bertanding di sini, Ismail berkata, Bersatu tidak menafikan hasrat Pas juga untuk bertanding di sini.

“Pas nak, Bersatu pun nak dan kita faham ramai yang  mengintai peluang kerusi panas ini tapi belum ada keputusan siapa yang akan bertanding di sini.

“Jika PN memilih Pas bertanding di sini, kami sedia untuk menangkan Pas, tiada masalah,” katanya.

Ditanya kemungkinan Bersatu akan meletakkan calon di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bagan Serai iaitu Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing, Ismail berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Namun kami percaya, Razman Zakaria (Pesuruhjaya Pas Perak) akan mempertahankan Gunung Semanggol,” katanya.- UTUSAN ONLINE