MELAKA, 18 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menjunjung kasih serta menyokong penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangani kemelut kepemimpinan negara ketika ini.

Beliau berkata, keputusan Seri Paduka itu sudah pasti berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Justeru, saya berharap semua rakyat dan kepemimpinan negeri serta negara supaya bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri yang baharu.

“Insya-Allah dengan kebijaksanaan baginda dan titipan doa kita semua, mudah-mudahan kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera dan Perdana Menteri yang baharu dapat dilantik.

“Saya juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti beliau sebagai Perdana Menteri kelapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik. -Berita Harian