IPOH: Biasiswa perlu dilihat sebagai pelaburan modal insan untuk masa depan negara dan bukannya sebagai beban.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pelaburan itu bagaimanapun perlu difokuskan pada sasaran tertentu.

“Kita lihat biasiswa ini tidak sebagai beban tetapi lebih kepada pelaburan kerajaan untuk masa depan negara

“Pada masa sama kita perlu pastikan biasiswa ini dapat beri kesan atau pulangan paling tinggi sekali dan kaji semula bidang yang diambil serta universiti yang dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai pendirian kerajaan berhubung pemberian biasiswa pendidikan dalam program dialog ‘Masa Depan Malaysia Baharu’ bersama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan, di sini malam tadi.

Program dialog selama 90 minit itu disertai kira-kira 300 peserta daripada beberapa universiti, kolej dan sekolah yang terbuka menanyakan soalan mengenai dasar dan hala tuju kerajaan baharu kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.

Syed Saddiq berkata, bidang pengajian pelajar yang dipilih mestilah mempunyai nilai tinggi kepada negara yang kini dalam era revolusi industri keempat terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Fokus lain adalah universiti dipilih dan jika dalam kalangan 10 atau 20 universiti terbaik, memang kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan biasiswa kepada calon berkenaan kerana nilai tambahnya kelak sangat besar.

“Tetapi kalau dapat universiti di tangga ke 90 atau 100 itu sangat tidak efektif kerana dari segi kos ia sangat tinggi dan ada universiti awam dalam negara yang lebih baik kedudukannya serta perlu diberi keutamaan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal pula menjawab antaranya mengenai komitmen kerajaan negeri dalam memajukan Perak termasuk menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar automotif.

Menurutnya pelbagai usaha sedang dijalankan untuk merealisasikan perkara itu termasuk yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat pembuat komponen kereta daripada China.

Beliau berkata, pelabur-pelabur berkenaan hanya menunggu tarikh bersesuaian daripada pihaknya untuk menjayakan kerjasama itu dan ia dijangka akan dimeterai pada bulan depan.

“Sebenarnya banyak perancangan yang kita buat untuk memastikan perancangan terdahulu dalam menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar automotif menjadi realiti dan kerajaan hari ini komited untuk meneruskan perkara itu,” katanya – berita harian