PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa membabitkan 10,000 siri bermula dengan ‘Malaysia 1’ hingga ‘Malaysia 9999’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan berkenaan dibuka kepada orang awam mulai 2 hingga 16 Julai ini manakala keputusannya diumumkan pada 23 Ogos.

Katanya, mereka yang berminat boleh membuat bidaan itu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan tidak hanya terhad di pejabat JPJ Kuala Lumpur seperti sebelum ini.

“Malah, kita tidak memberi keistimewaan kepada mana-mana menteri bagi mendapatkan nombor pendaftaran istimewa ini dan semua perlu melalui bidaan terbuka secara umum.

“Bagaimanapun, untuk nombor ‘Malaysia 2020’ akan ditawarkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan terpulang kepada beliau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Siew Fook berkata, tawaran nombor pendaftaran istimewa itu dijangka mampu menjana hasil memberangsangkan kepada kerajaan.

“Ini berdasarkan kepada hasil diperoleh melalui tawaran dan penjualan nombor pendaftaran indeks siri ‘V’ dan ‘F’ sebelum ini yang masing-masing merekodkan hasil sebanyak RM22.48 juta dan RM17.55 juta.

“Harga bidaan tertinggi pernah direkod bagi kedua-dua siri itu adalah RM989,780 bagi nombor pendaftaran V1 dan RM836,660 bagi nombor pendaftaran F1,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tawaran bidaan bagi siri ‘Malaysia’ adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu dan pihaknya juga akan memperluaskannya menerusi siri negeri pula antaranya ‘Selangor’, ‘Perak’ dan semua negeri seluruh Malaysia kelak.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya akan mengkaji cadangan nombor pendaftaran peribadi misalnya menggunakan nama individu sebagai satu langkah untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Siew Fook berkata, sebarang nombor pendaftaran khas tidak akan diberi kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana semua tawaran adalah di bawah JPJ.

“Jadi, hasil yang diperoleh itu akan masuk ke dana kerajaan memandangkan bidaan diuruskan oleh JPJ serta dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya – berita harian