PUTRAJAYA 3 Dis : Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bilangan kes cerai pada tahun lalu menurun 19.2 peratus kepada 45,754 berbanding 56,624 pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan penceraian ini disumbangkan oleh penurunan sebanyak 16.8 peratus bagi orang Islam dan 29 peratus penurunan bagi orang bukan Islam.

Beliau berkata, tiga negeri yang merekodkan penurunan penceraian orang Islam tertinggi iaitu di Sabah sebanyak 38.9 peratus diikuti Putrajaya (31.3 peratus) dan Kuala Lumpur (24.5 peratus).

“Bagi orang bukan Islam pula, negeri tertinggi mencatatkan penurunan perceraian ialah Labuan (71.4 peratus), Kedah (42.6 peratus) dan Melaka (42.4 peratus).

“Perceraian tertinggi adalah pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan,” katanya menerusi kenyataan mengenai Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian 2021 dikeluarkan hari ini.

Berhubung senario perkahwinan lewat di Malaysia pula, Mohd. Uzir berkata, penduduk Malaysia kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal usia 20-an pada 1980-an.

“Berdasarkan penemuan Banci Penduduk pada 1960, 2000 dan 2010, usia purata perkahwinan perempuan meningkat daripada 19.4 kepada 25.1 tahun dan kemudian meningkat kepada 25.6 tahun pada 2010.

“Umur purata perkahwinan perempuan menunjukkan peningkatan daripada 27.5 tahun (2016) kepada 28.1 pada tahun 2020.

“Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN, 2018), penangguhan perkahwinan secara langsung akan memendekkan tempoh reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan semakin menurun,” katanya.

Katanya, senario semasa menunjukkan bahawa kecenderungan perkahwinan lewat adalah dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan penduduk yang bekerja.

Mohd. Uzir berkata, mereka yang berkahwin lewat ini dilihat berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan terutama bagi mereka yang menetap di kawasan bandar sebelum berkahwin.

-UTUSAN MALAYSIA