LUMUT, 7 FEB – Sebuah bot bersama empat kru dari Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak kerana menceroboh perairan negara pada kedudukan 16 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak di sini pada Sabtu.

Kehadiran bot berkenaan dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan perikanan negara oleh KM Tugau yang dalam rondaan Op Benteng sekitar jam 5.40 petang.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, siasatan dijalankan mendapati bot dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong berusia antara 20 dan 40 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua nelayan asing itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM6 juta dan kru pula didenda RM500,000 setiap orang dengan penjara enam bulan sehingga setahun manakala, Akta Imigresen 1959/63 tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan.

Beliau berkata, kru dan tekong bersama bot tahanan telah dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Katanya, Maritim Perak akan terus meningkatkan kawalan sempadan negara menerusi Op Benteng.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999, Pusat Operasi Maritim Perak 05 – 683 8737 atau NTF 011-62511123,” katanya. – SINAR HARIAN