IPOH, 6 Mei – Seramai 40 orang anak-anak yatim dan miskin diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) di MH Hotel Ipoh, pada Rabu.

Dalam majlis yang sama, Digital Perak memberikan penghargaan kepada para pengamal media yang sering membuat liputan berkaitan aktiviti syarikat sehingga kini.

Menurut kenyataan pada Khamis, anak-anak yatim dan miskin yang terlibat ialah dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Nurkasih Al-Harraz, Taman Lapangan Perdana dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Kuala Pari.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia (BSKM) Khairul Shahril Mohamed.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Perak, Zairul Nahar Zakaria serta wakil deployment partner.

Dalam majlis itu Khairul Shahril turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf serta rakan-rakan media.