IPOH, 14 APRIL : Setiap kali Ramadan, Mas­jid India Muslim Ipoh yang terletak di Jalan Seenivasagam di sini pasti menjadi tumpuan orang ramai hanya untuk mendapatkan bubur lambuk daging kambing yang merupakan satu-satunya masjid di Ipoh menyediakan juadah istimewa itu.

Rahsia keenakan bubur lambuk kambing itu adalah pada penyediaan lebih 16 jenis rempah ratus untuk dimasak dengan ca­ra tersendiri serta potongan da­ging kambing segar yang kemudian mesra di dalam periuk bersama bahan-bahan lain sebelum ditabur hirisan daun sup dan bawang goreng.

Pastinya air tangan tukang ma­sak, Mustafha Kamal Varusai Mohamad, 75, untuk memasak lapan periuk bubur lambuk kambing sebagai juadah istimewa berbuka puasa di masjid tersebut sejak 16 tahun lalu bukan biasa-biasa, malah dia ha­nya dibantu dua orang untuk menyiapkan tugasan itu.

Jelas Mustafha Kamal, cara me­masak bubur lambuk kam­bing ini juga sama seperti mana yang dimasak 80 tahun lalu me­ngikut resipi masyarakat India Muslim tetapi telah disesuaikan dengan selera masyarakat setempat.

“Kerja-kerja memasak dimulakan selepas solat subuh se­perti memotong bahan-bahan ma­sakan, membasuh beras se­be­lum menyediakan tempat me­masak.

“Periuk pertama mula di­teng­gek di atas api pada pukul 8 pagi dan proses memasak bubur lambuk akan selesai sepenuh­nya pada pada pukul 1 petang atau sebelum solat zuhur.

“Bagi setiap periuk, saya memasukkan tiga kilogram daging kambing dan bahan lain se­perti daun pudina, ketumbar dan daun pandan,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu Pengerusi Mas­jid India Muslim Ipoh, Shaik Mujiburrahman Mohd. Yusoff berkata, bubur lambuk kam­bing dimasak secara berselang sehari dengan bubur lambuk biasa.

“Kita memperuntukkan se­ba­nyak RM1,000 sehari meliputi 150 kilogram beras, minyak masak dan bahan-bahan masakan lain termasuk 30 kilogram da­ging kambing.

“Resipi bubur lambuk kam­bing kita adalah yang sama sejak 80 tahun lalu, tak berubah baik dari segi bahan-bahan atau rasa,” jelasnya.

Agihan bubur lambuk bermula pukul 4 petang dan menjadi tradisi di masjid ini juga mereka yang datang mesti membawa bekas makanan sendiri sama se­perti diamalkan sejak masjid itu dibuka 100 tahun lalu. – UTUSAN ONLINE