PETALING JAYA, 15 MAC : Jabatan Landskap Negara menafikan laporan mendakwa aktiviti “fun ride” di Taman Persekutuan Bukit Kiara yang melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Jabatan itu berkata, penganjuran aktiviti berkenaan Jumaat lalu mengikut SOP am PKPB bertarikh 5 Mac dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang membenarkan aktiviti berjoging dan berbasikal.

“Aktiviti berbasikal yang berlangsung semalam bukanlah aktiviti “fun ride” di mana ia tidak dibuka kepada orang awam dan bukanlah berbentuk kejohanan ataupun pertandingan dengan kehadiran penonton.

“Pengunjung berbasikal adalah seramai 30 orang terdiri daripada kakitangan Jabatan Landskap Negara dan SWCORP,” menurut kenyataan jabatan tersebut di Facebook.

Selain itu, katanya, peserta acara itu telah dipastikan kesihatannya melalui imbasan suhu sebelum memasuki taman tersebut, serta menggunakan pembasmi kuman dan memakai pelitup muka.

Terdahulu, dua peguam dan seorang Ahli Parlimen menggesa pihak berkuasa menyiasat Zuraida kerana didakwa melanggar SOP PKPB berkaitan acara “fun ride”. Menurut mereka, pelaksanaan SOP PKPB mesti dilakukan secara saksama, selepas pengguna media sosial mengkritik Ahli Parlimen Ampang itu kerana terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Aktiviti itu dijalankan di Zon Rekreasi Keluarga, Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, yang menurut jabatan berkenaan adalah kawasan terbuka dengan keluasan lebih 400 ekar.

“Pelepasan basikal dalam program ini adalah bertujuan untuk mempromosikan amalan berbasikal norma baharu dengan sentiasa memastikan penjarakan sosial, memastikan kebersihan diri dan tidak berkongsi peralatan serta sentiasa memastikan keselamatan ketika berbasikal.

“Dalam program ini terdapat juga aktiviti senaman berlangsung di mana penjarakan fizikal diadakan dengan menandakan jarak 3m di antara setiap individu untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan kekal di tempat yang ditandakan untuk acara seterusnya,” katanya.

Tambahnya, aktiviti berkenaan mengikut SOP am PKPB, yang menyatakan “aktiviti berkumpulan dilakukan secara setempat tanpa sentuhan fizikal dengan had kapasiti 50% daripada kapasiti kawasan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan kawalan penyeliaan”.

Tempoh bersenam dan berkumpul juga dipendekkan bagi mengelakkan risiko jangkitan. – FMT