Anak dan bapa dari Manjoi, Ipoh ini berkongsi minat yang sama, iaitu gemar meluangkan masa menonton siri anime popular One Piece bersama-sama.

Disebabkan itu Muhammad Amin Kamarul Bahar,26, tergerak hati menghasilkan sendiri kek bertemakan anime itu, untuk dihadiahkan sempena hari jadi bapanya, Kamarul Bahar Ahmad Wasid yang ke-65.

Jika dulu pemuda ini pernah tular dengan kek tepak sireh untuk isterinya, kini dia muncul dengan kek gabungan Monkey D. Luffy (hero) dan King Beast Kaidou (naga).

Amin yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Seni Halus di Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, dia mengambil masa 18 jam untuk menghasilkan kek unik berkenaan.

“Inspirasi kek ini daripada komik One Piece, selalu saya dengan abah memang tonton cerita itu tiap-tiap minggu, kami memang minat dengan anime.

“Kebetulan hari jadi abah bulan ini jadi saya terfikir nak cipta kelainan berbanding viral kek tarik, saya guna kelebihan yang ada masa belajar dulu untuk reka kek sebegini,” katanya kepada Suara Perak.

Ketika ditanya bagaimana minat untuk menonton anime ini timbul, dia menjelaskan abang sulungnya, Mohd Izwan yang mula-mula memperkenalkan siri anime kepada mereka sekeluarga.

Ujar anak bongsu daripada lima beradik ini lagi, ketika itu abangnya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Yamaguchi, Jepun. Di mana negara itu sememangnya sinonim dengan siri anime dan manga.

“Dulu setiap kali dia (abang) balik ke Ipoh memang akan bawa cerita-cerita anime seperti One Piece dan Naruto dalam bentuk hard disk, kami termasuk abah tonton di komputer.

“Waktu itu komik-komik atau siri anime belum banyak di pasaran macam sekarang, bagi saya jalan cerita, fantasi dan animasinya berbeza sebab idea tersendiri.

“Cerita (One Piece) itu sudah lama ditayangkan rasanya hampir 20 tahun, kalau tak silap sejak 1997,” katanya.

Jelas Amin, bapanya yang juga pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) gembira dan terharu dengan hadiah kek tersebut.

“Antara cabaran untuk hasilkan kek ini ialah di bahagian kepala dan badan untuk tegakkan untuk lekat di struktur, proses itu agak rumit,” katanya lagi.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahu lebih lanjut jenis-jenis rekaan kek, boleh layari laman Facebook Muhammad Amin atau hubungi 012-592 6052.