GOPENG, 2 Ogos: Rakyat dinasihatkan agar tidak terus menghukum pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di media sosial berdasarkan bangsa dan agama, sebaliknya ia adalah kesalahan individu itu sendiri.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata demikian apabila ditanya mengenai ‘trend’ beberapa pihak yang menjadikan media sosial sebagai medan untuk melepaskan kemarahan khususnya berkaitan sesuatu bangsa dan agama sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, apa yang paling penting adalah melihat kepada punca masalah yang berlaku berbanding cuba menimbulkan isu dan membuat provokasi yang boleh merosakkan hubungan dan keharmonian kaum dalam negara.

”Sosial media ini kadang kala ramai orang dekat rumah nak lepaskan geram, jadi kita jangan anggap kalau dia orang Melayu kita jangan letakkan itu kesalahan orang melayu, kalau individu itu Cina jangan anggap itu Cina buat, kita kena anggap mereka semua ini individu.

”Hari ini masalah yang kita hadapi adalah tidak mengira kaum, tidak kira kaya atau miskin dan semua orang menghadapi masalah emosi, mental dan juga kewangan.

”Kita jangan menganggap sesuatu kenyataan yang dibuat seseorang individu itu mewakili kaum atau masyarakat mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Badan Pentadbiran Tanah Perkuburan dan Tokong Kon Yin di sini pada Selasa.

Beliau berkata, setiap kluster COVID-19 yang muncul juga tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kelompok yang akhirnya nanti boleh menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

“Jangan bila sesuatu kluster muncul dalam sesuatu komuniti kita menyalahkan komuniti, masalah COVID-19 ini tidak mengira latar mengira latar belakang bangsa, kaum atau pangkat,” ujarnya lagi.