KUALA LUMPUR, 31 Julai: Episod pertikaian antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan pembangkang bersama Istana Negara hanya berakhir melalui pembuktian sokongan majoriti wakil rakyat dan undi percaya Perdana Menteri di Parlimen.

Kegagalan berbuat demikian hanya meletakkan PN terus dalam tekanan selain defisit kepercayaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta rakyat Malaysia semakin menebal sekali gus menyebabkan politik negara tidak stabil. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, keabsahan kerajaan juga boleh dipersoal bermula 2 Ogos kerana selama ini pentadbiran kerajaan dilihat berpaut kepada Proklamasi Darurat yang berakhir esok (1 Ogos 2021). 

Selain itu, beliau berkata, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun harus mengangkat usul percaya atau tidak percaya kepada Perdana Menteri bagi menentukan keabsahannya walaupun dalam Aturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat menyatakan urusan kerajaan mesti didahulukan. 

“Jika kerajaan masih ‘bertahan’ dengan keadaan ini sudah pasti ia adalah satu lagi bentuk penderhakaan kepada Seri Paduka kecualilah kerajaan dapat membuktikan memang benar Baginda terlibat dalam keputusan kerajaan. 

“Tetapi, sekarang Seri Paduka sudah menzahirkan bahawa tidak terlibat dalam dan kita sedia maklum proklamasi darurat di bawah bidang kuasa Agong. Jadi, perlu ada penegasan absahnya kerajaan dalam bentuk bilangan sokongan wakil rakyat di Parlimen,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Kerajaan PN goyah selepas Seri Paduka menzahirkan rasa amat duacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan. 

Untuk rekod, usul undi tidak percaya diletakkan pada senarai bawah dalam Aturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat kerana usul tersebut dimasukkan oleh ahli persendirian dan tidak mewakili kerajaan. 

Peraturan 15 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain namun boleh diubah sekiranya dicadangkan oleh seorang Menteri seperti dinyatakan dalam Peraturan 14 (2). 

Dalam pada itu, Mior Nor Haidir berkata, kemelut yang berlaku akibat percanggahan kenyataan antara kerajaan dan Seri Paduka tidak mencetuskan krisis dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Sebaliknya, timbul isu apabila kerajaan bertindak menggunakan klausa tertentu di dalam Perlembagaan mengikut tafsiran sendiri sehingga membawa konotasi berbeza dengan kenyataan Istana Negara. 

“Apa yang sudah dinyatakan di dalam Perlembagaan sudah lengkap seadanya. Dalam situasi ini, kita perlu menjunjung dan menghormati Perlembagaan. 

“Tiada seorang pun perdana menteri kekal dalam jawatan itu jika sudah hilang kepercayaan wakil rakyat dan tunjukkan sokongan majoriti yang ada sekiranya masih ada ruang untuk berbuat demikian. 

“Saya yakin, jika perdana menteri membuktikan sokongan walaupun mungkin Seri Paduka tidak menyukainya, sudah tentu beliau kekal sebagai perdana menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE