IPOH, 8 Ogos: Pejabat Penerangan Daerah Kinta serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta menganjurkan Program Sepakat@Komuniti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Medan Klebang Restu hari ini.

Menerusi kenyataan Jabatan Penerangan Daerah Kinta, program itu diadakan bersempena Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya lagi, lokasi PKPD Medan Klebang Restu dipilih susulan tempoh PKPD di kawasan itu yang berakhir hari ini.

“Program ini diadakan mengikut SOP ketat dan hanya melibatkan perarakan lapan kenderaan, yang meliputi tujuh agensi kerajaan yang terlibat secara langsung di dalam kawasan PKPD.

“Lokasi ini dipilih bersempena dengan berakhirnya PKPD yang bermula pada 26 Julai lalu.

“Kumpulan konvoi ini akan bergerak mengelilingi kawasan perumahan sambil dimeriahkan dengan hebahan pematuhan SOP.

“Termasuk kempen kibar Jalur Gemilang serta lagu-lagu patriotik sempena menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan,” ujar kenyataan itu.

Program ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak, Mohd Taib Ubah serta Ketua Polis Daerah, Ipoh, ACP Yahya Hasan.

Agensi lain yang terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kinta, Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta.

Selain itu,program ini juga bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dan mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa.