IPOH, 13 APRIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengeluarkan 10 notis terhadap lima premis dalam Ops Catut 8.0 (air kosong) yang bermula sejak Rabu lalu.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 itu dikeluarkan supaya peniaga dapat mengemukakan dokumen berkaitan untuk disiasat.

Menurutnya, sehingga kini tiada tindakan kes dihasilkan.

“Operasi ini dijalankan serentak di seluruh negara susulan rungutan pengguna berhubung caj air kosong yang agak tinggi di premis makanan dan minuman.

“Pemeriksaan akan diteruskan sehingga 15 April ini bagi menyemak harga jualan air kosong dan notis itu membolehkan kita menyiasat sama ada wujud unsur pencatutan atau tidak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi walkabout sempena persediaan Ramadan di Pasar Awam Besar Ipoh di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan KPDNHEP mengeluarkan 84 notis kepada peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara kerana mengenakan caj air kosong melebihi RM1 segelas dan Kelantan merekodkan kes paling tinggi.

Sementara itu, Saifullizan berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan barang keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.

“Ini kerana bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

“Kita nasihatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian panik dan dapat membuat pilihan bijak. Peniaga pula diingatkan untuk tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifullizan berkata, seramai 178 pegawai penguat kuasa akan melakukan pemeriksaan harian di setiap premis termasuk bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Susulan aduan berkaitan harga daging yang diterima, Saifullizan berkata, pihaknya percaya Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah ambil maklum berhubung perkara itu.

“KPDNHEP sentiasa berhubung dengan jabatan berkenaan bagi memastikan harga daging dijual pada harga yang munasabah,” katanya. – Sinar Harian