IPOH, 6 Dis – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hanya akan memberi perkenan pelantikan Menteri Besar yang baharu setelah diyakini calon itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pertemuan baginda dengan beberapa ketua-ketua parti sebelum ini bagi menerima sembah maklum mengenai perkembangan terkini dari parti masing-masing.

“Pagi ini, Sultan Nazrin telah menerima menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah mempersembahkan perkembangan terkini daripada sudut UMNO dan apa juga rumusan yang mereka capai dalam mesyuarat perhubungan UMNO untuk makluman Tuanku Sultan dan baginda maklum.

“Peranan baginda Sultan hanyalah (memperkenan pelantikan Menteri Besar Perak) setelah diyakinkan bahawa calon yang akan dipersembahkan itu mempunyai sokongan majoriti mudah untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang baharu,” katanya kepada pemberita di hadapan Istana Kinta, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Annuar berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pihak yang memohon untuk menghadap Sultan Nazrin.

Menurutnya, jika ada perkembangan terkini, pihak istana akan memaklumkan kepada media.