Kamunting, 23 April : “Ikutkan saya dan rakan mahu berniaga di bazar Ramadan tetapi tidak mampu membayar sewa tapaknya yang mahal,” kata Noor Ameer Najwan Abdul Rauff, remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencari rezeki menjual minuman sempena Ramadan ini.

Menurutnya, dia bersama dua rakannya yang juga pasangan kembar, Mohamad Danish Abu Mansor dan Mohamad Darwish, 18, membuka gerai minuman di Medan Perwira Kamunting di sini.

Mereka menyediakan dan menjual minuman susu bersama sagu dengan campuran puding mangga, strawberi dan coklat.

Bercerita lanjut, Noor Ameer berkata, perniagaan itu dijalankan dengan berbekalkan modal RM500 hasil wang simpanan mereka bertiga.

“Pada awalnya, kami bercadang untuk menjalankan perniagaan bermula 1 Ramadan tetapi memulakannya tiga hari sebelum puasa supaya orang tahu lebih kewujudan gerai kami.

“Kebetulan, ayah saya (Abdul Rauff Tajuddin) mengusahakan dobi jadi kami gunakan tapak bukan parkir di hadapannya untuk berniaga.

“Gerai dibuka dari 3.30 petang hingga 7 malam dan minuman dijual pada harga RM4 untuk cawan kecil, RM5 (sederhana) dan RM8 (besar),” katanya ketika dihubungi Harian Metro bagi mengulas mengenai video dimuat naiknya di TikTok yang mendapat maklum balas positif daripada netizen.

Menurut Noor Ameer, mereka boleh meraih pendapatan antara RM50 hingga RM90 sehari.

Walaupun pendapatan diterima perlu dibahagikan namun Noor Ameer mengakui puas kerana dapat menimba pengalaman berniaga dan mencari rezeki di bulan Ramadan.

“Sementara menunggu keputusan SPM, kami bertiga cuba mencari kerja sambilan di beberapa tempat tetapi tidak diterima mungkin kerana pengambilan pekerja dibekukan kesan pandemik Covid-19.

“Ada juga memohon kerja di kedai makan namun gaji harian ditawarkan agak sedikit untuk tempoh kerja yang lama.

“Jadi, kami cuba berniaga dan bersyukur dengan pulangan diterima. Sambutan pelanggan juga baik dan mereka terdiri daripada rakan, guru sekolah serta pengikut yang datang ke gerai selepas menonton video di TikTok,” katanya.

Menurut Noor Ameer, dia dan rakannya bercadang meneruskan perniagaan itu selepas Ramadan jika ada sambutan.

“Memang ada perancangan untuk teruskan perniagaan ini dan menambah baik serta mempelbagaikan perisa minuman ,” katanya yang baru mengeluarkan pencuci mulut iaitu puding mangga, oreo dan Royale Pahang, hari ini. – Harian Metro¬†