KUALA LUMPUR, 31 MAC : Syarikat multinasional Jepun, Casio mengeluarkan jam tangan edisi terhad G-Shock Harimau Malaya selepas menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai tanda sokongan kepada skuad kebangsaan.

Perjanjian kerjasama membabitkan penajaan dan pelancaran jam tangan edisi terhad itu ditandatangani Pengarah Eksekutif Marco Corporation, Ong Sim Jeng dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini. 

Marco Corporation adalah pengedar rasmi Casio Malaysia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Tajaan FAM, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, tajaan daripada syarikat elektronik gergasi Jepun menerusi pengedar rasminya itu adalah tanda bola sepak negara sudah mula mendapat perhatian syarikat swasta di negara ini.

“Keadaan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac tahun lalu tidak menghalang syarikat swasta ini untuk tampil menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan.

Menerusi kerjasama ini, saya pasti ia akan menjadi motivasi untuk pemain skuad Harimau Malaya memulakan kembali kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh akibat pandemik,” katanya.

Sebagai simbolik pelancaran jam tangan Casio G-Shock edisi terhad ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi individu pertama yang menerima jam tanganG-Shock edisi Harimau Malaya dengan nombor siri 001 daripada Pengarah Urusan Casio Malaysia, Tezuka Itsuro.

Jam tangan edisi Harimau Malaya ini menggunakan model asas G-Shock GA-2000-1A9 yang didatangkan dengan warna tradisi Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning serta memiliki ukiran logo Harimau Malaya sekali gus menyerlahkan lagi gaya eksklusif dan unggul.

Sementara itu, Tezuka turut berkongsi rasa berbesar hati dengan kesudian FAM untuk menjalinkan kerjasama bersama syarikat multinasional Jepun itu.

“Reka bentuk G-Shock memang sudah terkenal dengan rekaan yang mengikuti trend semasa sekali gus menepati citarasa remaja pada hari ini.

Saya pasti jam tangan edisi terhad ini akan mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.

“Kerjasama pertama antara Casio, Marco dan FAM ini ternyata mencerminkan tahap kualiti yang dikejar oleh FAM. Harapan saya agar skuad kebangsaan Malaysia sentiasa mengorak langkah ke arah kecemerlangan lebih-lebih lagi pada kempen Kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya.

Sebagai rekod, jam edisi terhad itu hanya dikeluarkan sebanyak 999 unit dan diukir dengan nombor siri bermula 002 sehingga 999. – Berita Harian