IPOH, 23 Feb – Walaupun baru sehari dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fat tidak mengambil masa untuk menyambung tugas yang ditinggalkan Mehmet Durakovic yang menamatkan kontrak mulai 19 Februari lalu.

Dengan sepak mula Liga Malaysia berbaki kurang dua minggu, penting bagi Yee Fatt mempersiapkan anak-anak buahnya menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan 5 Mac depan.

Bekas pemain Perak era 80-an itu mengakui, mengambil alih tugas Mehmet bukanlah mudah kerana rekod kejayaannya ketika berkhidmat di Selangor sebelum ke Perak.

“Semua orang tahu, Mehmet sangat cemerlang ketika di Selangor dan kemudiannya di Perak.

“Bagi saya, dia sangat berjaya dan sebagai pengganti, tentu sukar untuk membandingkan dengan kejayaan beliau,” katanya.

Beliau bercakap melalui video rakaman selepas sesi latihan pertamanya di Stadium Perak di sini pada Selasa.

Yee Fatt mengakui masa yang singkat, kurang dua minggu menjelang sepak mula Liga Malaysia tidak cukup untuknya untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap.

“Memang masa tidak mencukupi tetapi dengan situasi sekarang, saya akan membuat yang terbaik untuk pemain dan pasukan,” ujarnya.

Sesi latihan hari ini bermula dengan pertemuan dengan barisan pemain dan selesai taklimat ringkas, Yee Fatt terus memantau latihan yang dikendalikan barisan kejurulatihan Perak FC.

Berdasarkan pengalaman, dijangka dia tidak mempunyai masalah untuk membentuk keserasian dengan para pemain.

Perak FC akan memulakan sepak mula Liga Malaysia menentang PJ City FC yang dijadualkan di Stadium Perak pada 7 Mac depan.

Yee Fatt bermain untuk Perak bagi musim 1981-83 dan musim 1986 di samping menjadi Pembantu Ketua Juralatih Perak 2011-2013 dan 2017 sewaktu Perak diterajui Karl Heinz Weigang.

Dalam sidang media semalam, Mehmet Durakovic membuat keputusan meninggalkan Perak FC, pasukan yang dilatihnya selama 4 musim.

Penamatan kontrak Mehmet yang ditandatangani pada 19 Februari lalu dicapai secara bersama atas permintaan jurulatih itu sendiri disebabkan urusan keluarganya di Australia.