BELANJA, 21 Julai- Seperti kelaziman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah turut serta dalam majlis ibadah korban sempena Aidiladha, di kawasannya semalam.

Khairudin atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Din berkata Masjid As Salam Kampung Bukit Chupak di sini menyediakan empat ekor kerbau untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Seperti kebiasaan saya akan turut serta dalam majlis ibadah korban yang dianjurkan di kawasan setempat.

“Selain itu saya juga sempat meninjau aktiviti ibadah korban di sekitar DUN Belanja,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ujarnya lagi antara lokasi yang terlibat dalam ibadah korban itu termasuk di Masjid Gorfarniah, Kampung Changkat Banjar, Surau Ehsaniah, Kampung Dusun Hilir dan Masjid Al Khairiah Kampung Chopin Kiri.

Terdahulu, beliau menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama ahli kariah di Masjid As Salam Kampung Bukit Chupak.