PETALING JAYA, 25 Sept: Masalah berbangkit membabitkan kelemahan fungsi daftar keluar atau check out pada aplikasi MySejahtera sedang ditambah baik, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Saya tahu ramai beri komen mengenai fungsi ‘check out’… Saya sendiri pernah tidur di pasar raya jika lihat kepada sejarah ‘check in’ sebab terlupa untuk ‘check out’.

“Jadi, kita akan lihat apa kaedah terbaik untuk memastikan fungsi ‘check out’ ini dapat diguna dengan sempurna,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), petang tadi.

Khairy bagaimanapun menegaskan fungsi utama ciri daftar masuk dan keluar pada aplikasi itu adalah untuk mengetahui lokasi dikunjungi pengguna bagi tujuan pengesanan kontak rapat jika pengguna itu positif Covid-19.

“Kita akan mantapkan lagi aplikasi ini… mungkin boleh naik taraf dan ada ‘notification’ kepada pengguna jika mereka terlupa untuk ‘check out’,” katanya. – FMT