KOTA BHARU, 3 Mei: Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 tertinggi sejak kebelakangan ini disebabkan pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata hingga kini seramai 2,000 penduduk di negeri itu terpaksa menjalani kuarantin di rumah.

“Kita terpaksa meletakkan mereka di rumah kerana kekangan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) yang tidak mencukupi. Namun kita dapati, tidak sesuai dikuarantin di rumah kerana kadar kebolehjangkitan COVID-19 di negeri itu menjadi semakin tinggi berbanding Rt nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, hari ini.

Dr Izani berkata, kebanyakan kediaman juga tidak bersesuaian sebagai tempat kuarantin menyebabkan pesakit yang positif itu menjangkiti ahli keluarga yang lain.

“Pada masa sama, ahli keluarga pula berjalan ke banyak lokasi tanpa menyedari mereka turut positif COVID-19. Malah, kebanyakan ahli keluarga yang mempunyai tanda-tanda COVID-19 juga mengambil pendekatan mendiamkan diri,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 60 kematian direkodkan di Kelantan akibat COVID-19. – Berita Harian