KUALA KANGSAR, 9 Mei – Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada tahun lalu meninggalkan kesan kepada semua sektor dan rumah kebajikan juga turut merasa keperitannya.

Naib Pengetua Pusat Jagaan Anak-Anak Ummu Sofiah, Trong, Faridah Abdul Karim, 53, mengakui sumbangan untuk sambutan Syawal sejak tahun lalu berkurangan.

Menurutnya, jika dahulu, bulan Syaaban, Ramadan dan Syawal merupakan bulan paling meriah bagi anak-anak di rumah kebajikan kerana sumbangan yang melimpah ruah.

“Dulu kami tidak perlu memikirkan pasal persediaan untuk sambutan Syaawal bagi anak-anak tetapi sejak Covid-19 melanda, keadaan agak berbeza,” katanya apabila dihubungi setelah menerima sumbangan daripada kakitangan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) baru-baru ini.

Walaupun kebanyakan rumah jagaan anak yatim masih tidak menghadapi masalah dengan bekalan makanan kerana sumbangan masih banyak di sepanjang Ramadan, namun bantuan sumbangan kelengkapan untuk sambutan Hari Raya berkurangan.

“Kami bernasib baik kerana selama ini kami berjimat cermat dan mempunyai tabung simpanan yang mencukupi untuk menampung saat-saat kesukaran sebegini.

“Namun ramai rakan-rakan yang mengeluh kerana tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung pembiayaan keperluan raya bagi anak-anak jagaan mereka.

“Sumbangan terutama bantuan untuk keperluan sambutan hari raya anak-anak berkurangan sejak tahun lalu,” kata Faridah.

Program Jalinan Kasih Ramadan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USAS merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihak universiti terhadap masyarakat yang memerlukan.

Pasukan yang diketuai oleh Dr Ahmad Zaki Hasan, Dekan BHEP USAS telah menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian dan duit raya bagi anak-anak di pusat tersebut.

Program kemasyarakatan selama empat hari yang bermula pada 5 Mei hingga 8 Mei itu melibatkan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan dan pelajar universiti, menyampaikan sumbangan kepada enam rumah anak yatim serta gotong royong membersih rumah asnaf dan bekeperluan di sekitar Kuala Kangsar dan Taiping.

Dr Ahmad Zaki berkata, selain menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar terutamanya ketika menghadapi pandemik COVID-19 pihaknya terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka yang memerlukan.

“Meskipun dengan kekangan yang ada, kami berharap bantuan yang dihulurkan serba sedikit dapat membantu mereka terutamanya anak-anak yatim dan golongan asnaf ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada tahun lalu, BHEP memberikan sepenuh tumpuan dalam menjaga kebajikan dan kesihatan para pelajar USAS terutamanya dalam pengurusan menghantar mereka pulang ke kampung halaman.

“Tahun ini, pengurusan penghantaran pulang dan urusan kebajikan pelajar lebih mudah kerana pengalaman tahun lalu. Maka kami diberi peluang untuk melebarkan aktiviti dalam membantu masyarakat di luar juga,” tambahnya.

Penerima sumbangan adalah Persatuan kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah, Bukit Gantang, Taiping, Pusat Jagaan Anak-Anak Ummu Sofiah, Trong,Taiping, Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Nurul Ihsan, Sungai Siput serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani dan Pertubuhan Kebajikan Nurul Iman yang terletak di Ipoh.

Mereka juga turut bergotong royong untuk membersih dan membantu membuat persiapan sambutan syawal di kediaman keluarga asnaf iaitu Nazardin Ahmad di kampung Talang serta Mat Noh Chu Jeat dan Azizah Nordin di Manong, Kuala Kangsar.