IPOH, 28 APRIL – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad diarah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari mulai hari ini, selepas berlaku kontak dengan seorang individu positif COVID-19 di Lenggong baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Politik beliau, Datuk Sham Mat Sahat selepas EXCO Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dilihat mewakili Saarani pada Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri di sini, pada Rabu.

Jelas Sham beliau mengetahui perkara tersebut selepas Saarani meminta beliau mewakilinya ke sebuah majlis berbuka puasa di Batu Kurau yang dijadualkan pada Jumaat ini.

“Pukul 5 petang tadi, saya dapat maklumat bahawa Yang Amat Berhormat diminta untuk kuarantin selama 14 hari kerana close contact dengan (seorang individu) yang positif (COVID-19) di Lenggong. Jadi pada tadi beliau maklumkan yang beliau tak dapat hadir (ke majlis ini).

“Saya pun dapat maklumat tadi apabila majlis berbuka puasa Hari Jumaat ini, di Batu Kurau beliau minta saya wakil ke sana. Apabila saya tanya kenapa, dia kata dia kena kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri di Masjid Negeri Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, pada Rabu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terdahulu berkenan berangkat pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Sham berkata arahan kuarantin terhadap Menteri Besar itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri selepas Saarani selesai mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini siang tadi.

“Setakat ini, hanya maklumat ini saya dapat sahkan. Maklumat lanjut, saya akan umumkan kelak,” jelas beliau.

HABIS