IPOH, 15 Sept – Semua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Perak diarah dalam keadaan siap sedia 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana di kawasan masing-masing.

Ia ekoran lebih 61 pegawai dan anggota bomba di negeri itu perlu menjalani kuarantin, samada positif COVID-19 atau kontak rapat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, setakat ini, 13 anggota disahkan positif COVID-19, manakala 48 lagi menjalani kuarantin kendiri kerana berstatus individu dalam siasatan (PUI) atau individu dalam pengawasan (PUS).

“Walaupun kita mengalami peningkatan dari segi dikuarantin, tetapi kita ada elemen-eleman lain yang menyokong perkhidmatan kita, bermakna perkhidmatan kita di balai berkenaan tidak akan ditutup.

“Kita akan mengalih daya pasukan bomba sepenuh masa dari balai-balai terdekat ke kawasan berkenaan.

“Tetapi kekuatan kita sebenarnya ialah penglibatan PBS yang mana apabila data menunjukkan peningkatan, kita akan mengarahkan pasukan bomba sukarela ini supaya dalam keadaan siap sedia 24 jam untuk menangani isu-isu sekiranya berlaku pada golongan masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau operasi Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru Ipoh, di sini, hari ini.

Menurut Azmi, setakat ini, dua BBP agak terkesan kerana ramai pegawai dan anggota yang positif COVID-19 serta kontak rapat.

Katanya, balai-balai berkenaan ialah BBP Taiping dengan tiga kes positif di samping 16 anggota menjalani kuarantin dan BBP Parit Buntar, juga tiga kes positif dan 13 lagi dikuarantin.

Beliau memberitahu, setakat ini Perak mempunyai 44 Pasukan Bomba Sukarela dengan 1,319 anggota.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 1,177 atau 89 peratus daripada mereka telah menerima vaksin lengkap dua dos.