KUALA LUMPUR, 21 OKT : Trend peningkatan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di beberapa negeri, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak adalah membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, trend itu menunjukkan peningkatan pada minggu epidemik ke-41 (10 – 16 Oktober) sejurus selepas kebenaran merentas negeri diberikan pada 11 Oktober.

Sehubungan itu, kata Khairy, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau keadaan selain menjalankan beberapa strategi termasuk memanjangkan pemberian dos penggalak (booster dose) Comirnaty oleh Pfizer kepada penerima vaksin Sinovac.

“Mengambil kira data kemasukan ke hospital yang meningkat, mengambil kira juga pandangan Strategic Advisory Group of Experts (SAGE) on Immunization daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), KKM telah putuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang dapat dos lengkap Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan yang lepas.

“Sebagai pemulaan, pemberian dos penggalak secara heterologous ini kepada individu 60 tahun ke atas, berdasarkan saranan SAGE dari WHO yang bersidang pada 4 hingga 7 Oktober 2021,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Khairy berkata, pemberian dos penggalak itu akan bermula pada 22 Oktober (Jumaat) secara berfasa di seluruh negara dan dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pemberian dos penggalak tersebut, katanya, akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah temu janji pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari masa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat temujanji melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” kata Khairy lagi.

Mengulas mengenai kenaikan kes di beberapa negeri dan wilayah, Khairy berkata, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Negeri Sembilan telah mencatatkan peningkatan jumlah kes iaitu masing-masing pada kadar 7.8 peratus, 3.3 peratus dan 4.1 peratus berbanding minggu epidemik ke-40.

Katanya lagi, tiga buah negeri lain yang turut melaporkan peningkatan purata kadar insiden bagi tempoh tujuh hari pada minggu epid ke-41 berbanding minggu epid ke-40 ialah Putrajaya (13.9 peratus), Negeri Sembilan (9.4 peratus) dan Perlis (2.7 peratus).

Bagaimanapun, Khairy berkata, di peringkat nasional, jumlah kumulatif kes COVID-19 telah berkurangan sebanyak 17.9 peratus, daripada 63,722 kes pada minggu epid ke-40, kepada 52,321 kes pada minggu epid ke-41.

“Purata kadar insiden bagi tempoh tujuh hari juga mencatatkan penurunan sebanyak 20.9 peratus iaitu daripada 248 kes per 100,000 penduduk pada minggu epid ke-40 kepada 196 kes per 100,000 penduduk pada minggu epid ke-41.

“KKM mengunjurkan purata sebanyak 7,576 kes harian dicatatkan dalam lima hari akan datang (18 Oktober-22 Oktober),” jelas Khairy lagi. – AWANI