BATU GAJAH, 14 Jan – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedia untuk mengkaji semula peruntukan di bawah program tanggungjawab sosial (CSR) ekoran pandemik COVID-19 telah menyebabkan golongan yang memerlukan semakin bertambah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, ia sesuai dengan objektif asal syarikat untuk mendekatkan TNB dengan rakyat, khususnya mereka yang kurang bernasib baik.

Bagaimanapun, katanya, ia juga bergantung kepada keuntungan serta kadar zakat yang dikeluarkan.

“Peruntukan yang sewajarnya datang dari pemberian zakat yang kita dapat dan kita sentiasa terbuka kerana kita berpegang kepada prinsip sesungguhnya TNB tu satu organisasi yang begitu dekat dengan rakyat.

“Jadi apa-apa yang kita rasa kita dapat menyumbang ke arah itu, kita terbuka untuk mengkaji semula jika perlu peruntukan-peruntukan yang sesuai kerana objektif asalnya, objektif pokoknya ialah mendekatkan diri Tenaga Nasional dengan rakyat, khususnya mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau ditemui di majlis penyerahan rumah di bawah Program Baiti Jannati TNB di Kg Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak pada Jumaat.

Beliau memberi contoh di bawah Program Baiti Jannati, TNB telah membina dan membaik pulih 879 buah rumah sejak 2007 dengan peruntukan hampir RM40 juta.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, program berkenaan melibatkan 117 buah rumah dengan peruntukan lebih RM5 juta di Perak.

“Dengan adanya tanggungjawab korporat oleh TNB sendiri ianya dapat membantu kita memberikan rumah yang selesa kepada masyarakat samada yang miskin bandar ataupun miskin di luar bandar dapat diberikan perhatian,” ujarnya.

Dalam pada itu, keluarga Allahyarham Norazman Abdul Rahman melahirkan rasa gembira dan terharu kerana menerima sebuah rumah yang selesa.

Isterinya, Norismah Ismail, 49, berkata, mereka sekeluarga berasa lega kerana rumah lama yang berusia 50 tahun telah reput di makan anai-anai.

Anak sulong keluarga itu,
Norfatihah Norazam, 19, berkata, sebelum meninggal dunia pada Oktober lalu, ayahnya telah membuat banyak rancangan apabila rumah baharu mereka siap.

“Dia memang tidak sabar untuk melihat rumah siap dan merancang untuk menghiasi rumag, khususnya di ruang tamu. Dia juga sangat bersyukur kerana kami akan dapat sebuah rumah baru,” ujarnya.

Norfatihah turut mempunyai dua orang adik, Noralif Eizham, 16, dan Norannisa, 12.