IPOH, 8 April – Kerajaan negeri Perak memberi amaran kepada pemilik struktur telekomunikasi yang tidak berdaftar supaya segera berbuat demikian bagi mengelak sebarang tindakan lebih tegas.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, setakat ini hanya 712 struktur telekomunikasi yang mengemukakan permohonan bagi Program Pemutihan Struktur Telekomunikasi tersebut.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 2,132 struktur telekomunikasi di Perak dan jumlah itu dijangka bertambah menerusi program yang dikendalikan Digital Perak dengan kerjasama kerajaan negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak.

“Setiap struktur telekomunikasi yang beroperasi di Perak perlu mematuhi polisi dan dasar kerajaan negeri termasuklah memiliki permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Pembinaan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi secara sah amat penting bagi mengurangkan risiko keselamatan serta mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Pelaksanaan Penambahbaikan Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, Program Pemutihan Struktur Telekomunikasi bermula pada 1 April hingga 31 September 2021.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata, kerajaan Perak turut akan menerima 105 pencawang telekomunikasi baharu di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diumumkan kerajaan pusat.

Menurutnya, proses tender bagi projek tersebut sudah dilaksanakan dan pembinaan akan dimulakan tahun ini juga.