LARUT, 16 Okt – Polis akan meneliti setiap laporan yang diterima terhadap kumpulan antivaksin sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, siasatan mendalam akan dilakukan menerusi laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Pertama sekali perlu buat laporan polis dan apabila kita lihat jika ada pelanggaran maka kita akan ambil tindakan.

“Sebagai menteri yang menjaga  penguatkuasaan undang-undang yang ada, kita akan lihat dahulu laporan polis, dalam seksyen mana, apa perkara yang mereka telah lakukan kesalahan.

“Kemudian kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penyampaian kotak makanan dan ramah mesra bersama penduduk di Kampung Sungai Ara, Batu Kurau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.

Ditanya mengenai keperluan mewujudkan akta baharu terhadap golongan terbabit, Hamzah berkata, perkara itu akan difikirkan kemudian.

Pada Jumaat media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah dengan membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin.

Khairy berkata, beberapa kumpulan antivaksin dilihat masih berterusan menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covid-19 hingga mengancam kesihatan awam.

Terdahulu, semasa program ramah mesra bersama penduduk dan penyampaian kotak makanan di Sekolah Kebangsaan Kampung Repoh, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut meluluskan peruntukan hampir RM350,000 untuk beberapa projek infrastruktur.

Antara projek itu ialah baik pulih dewan SK Kampung Repoh, tandas masjid, baiki jalan masuk kampung, paip masyarakat, selebggara sekolah dan baiki bilik guru.