IPOH, 25 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat membuat laporan polis mengenai dakwaan kononnya 300 ahli mereka keluar parti untuk menyertai parti Gerakan.

Mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk meminta pihak polis menyiasat perkara itu yang dianggap palsu.

Setiausaha PKR Ipoh Barat, Ramesh Roy berkata, jurucakap kumpulan itu, Alfaizal Shahul Hamid, bukan keluar parti, sebaliknya dilucutkan keahlian pada Jun tahun lalu.

“Maknanya dia bukan keluar parti, memang dia melanggari perlembagaan parti, jadi dia telah dilucutkan (keahlian).

“Jadi apa yang dia sebut 300 ahli untuk masuk ke sana, tidak benar kerana setakat ini kita tidak dapat apa-apa yang surat menyatakan ahli-ahli ini sudah keluar daripada parti, ini maklumat palsu,” katanya ditemui ketika membuat laporan di IPOD Ipoh, di sini, hari ini.

Pada Rabu, media melaporkan seramai 300 bekas ahli PKR Ipoh Barat yang keluar parti tahun lepas, menyuarakan hasrat akan menyertai parti Gerakan.

Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 50 borang keahlian yang lengkap telah diserahkan kepada pihaknya.

Pada majlis sama, Alfaizal Shahul Hamid, berkata keputusan yang dibuat mereka itu adalah dengan rela hati dan tanpa sebarang tekanan mana-mana pihak.