IPOH, 9 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak telah merujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan polis Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran menerima mesej yang disyaki berunsur rasuah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan itu dihantar kepada pihak SPRM Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau mengesahkan pihaknya menerima laporan itu pada jam 1.56 petang Sabtu yang dibuat Setiausaha Sulit Ahli Parlimen itu berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah melalui dua nombor telefon yang tidak dikenali kira-kira jam 10.30 malam Jumaat.

Menurutnya, dua lagi laporan polis telah dibuat di Kedah dan Pulau Pinang berkaitan perkara yang sama.

“PDRM Perak ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini memandangkan ianya masih lagi disiasat oleh pihak SPRM bagi mengelakkan daripada mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Sabtu, Kulasegaran mendakwa beliau telah dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan di aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah pada Jumaat.

Beliau mendakwa tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.