IPOH, 14 Mac – Dakwaan kononnya Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar keluar daripada PKR, seterusnya menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tekanan, hanyalah spekulasi semata-mata.

Dakwaan itu dibuat ekoran rasa tidak berpuas hati dengan tindakan bekas Naib Presiden PKR tersebut.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, kerajaan tidak memberi apa-apa tekanan kepada mana-mana pihak.

“Di negara kita ini, kita ada banyak dakwaan-dakwaan seumpama itu tetapi saya berpandangan bukan mudah untuk memberi tekanan ataupun membeli kepada golongan-golongan seperti pemimpin yang pernah jadi menteri dan sebagainya.

“Mereka adalah pemimpin-pemimpin besar, beliau adalah bekas Naib Presiden kepada sebuah parti, bukan baru dalam parti berkenaan. Jadi saya fikir bukan mudah untuk memberi tekanan ataupun dakwaan membeli kepada pemimpin-pemimpin seumpama ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas program dialog penerangan bersama Bersatu Perak di Ipoh pada Ahad.

Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pada Sabtu, Dr Xavier mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR, parti yang dianggotainya sejak 1998.

Dalam reaksinya, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu tidak akan melakukan tindakan sedemikian jika bukan kerana siasatan terpilih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berniat menakut-nakutkan beliau.

Dalam kenyataan medianya pada Sabtu, Sivarasa berkata, sehingga kini beberapa kenalan serta pegawai di kementerian berkenaan telah ditahan dan direman SPRM.