IPOH: Dana Kreatif Perak (DKP) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu telah berjaya membantu artis negeri ini dalam menghasilkan produk seni yang berkualiti dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kejayaan mereka membuktikan keberkesanan dana kreatif yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, antara kejayaan membanggakan penerima DKP 2019 ialah pencapaian pengarah muda, Lim Han Loong yang dinobatkan sebagai pemenang utama Malaysia Movie Maker Award.

Katanya, begitu juga dengan Ahmad Iwaz Hamdy yang menerima pengiktirafan “Highest Commendation” oleh Asia South East-Short Film Festival (Winter 2021) melalui filem pendek animasi SELAMA.

“Agensi kerajaan negeri, PORT tersenarai di dalam Visual Art Map 2020 oleh CENDANA sebagai Agensi Kerajaan yang menyokong seni visual melalui pendanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak @PORT di sini, hari ini.

Zainol yang juga Ahli Pengarah PORT berkata, bagi fasa pertama, 42 orang penerima terpilih untuk menerima DKP dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM170,000.

Katanya, penerima dipilih berdasarkan kertas kerja yang dihantar dan dinilai oleh badan penilai khas.

Zainol berharap, dana tersebut dapat digunakan sebaik-baik mungkin oleh para penerima dalam menghasilkan karya berkualiti yang bertaraf antarabangsa.