KUALA LUMPUR, 22 JAN : Bekas pemain skuad Bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Muhammad Danish Haziq Saipul Hisyam bertekad memberikan aksi terbaik bersama Perak selepas sah menyertai pasukan berkenaan pada musim ini menerusi kontrak selama satu tahun.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, penghijrahannya daripada UiTM FC ke Perak membuka lembaran baharu dalam karier bola sepaknya dan berjanji menggunakan peluang diberikan bagi menghadirkan kejayaan kepada skuad utama The Bos Gaurus walaupun perlu bersaing dengan seorang lagi pemain, Amirul Azhan Aznan di posisi pertahanan kanan.

“Di Perak, saya harap jurulatih (Mehmet Durakovic) tahu apa kelebihan saya dan seterusnya diberi kepercayaan. Tetapi perkara ini tidak boleh sekadar cakap sahaja, saya kena buktikan serta tunjukkan apa yang saya ada.

“Laluan sudah ada depan di mata saya, jadi sekarang saya kena ambil peluang ini sebaik mungkin, ” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Danish Haziq memaklumkan jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt menjadi individu penting dalam membantu menghidupkan semula karier bola sepaknya selepas bergelut mendapat tempat ketika mewakili Negeri Sembilan selama empat musim dari 2016 hingga 2019.

Beliau mengakui jurulatih kelahiran Jerman itu memberikan peluang dan ruang bagi dirinya untuk kembali mendapatkan lebih minit permainan selepas melalui tempoh sukar bersama Negeri Sembilan. – Berita Harian