IPOH, 27 Julai – Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin telah menjalankan cabutan kerja-kerja undi secara langsung melalui Facebook MBI petang tadi bagi mengurangkan interaksi sosial bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Pelaksanaan kerja undi ini juga akan meningkatkan intergriti MBI dalam proses perolehan kepada para kontraktor.

Menurut kenyataan MBI, sebanyak 97 projek berjumlah RM7.86 juta akan dilaksanakan sebagai kerja undi yang terbuka kepada kontraktor berdaftar dengan CIDB G1 dalam daerah Kinta, atau berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang seperti yang dinyatakan serta berdaftar di negeri Perak layak menyertai cabutan undi itu.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor yang telah mendapat projek sehingga 22 Julai 2021 tidak akan terpilih dalam proses undi ini.

Menurutnya, nilai perolehan kerja undi ini juga adalah di bawah RM100,000.00 sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PK 2.2 – Kaedah Pelaksanaan Perolehan/Projek Kerajaan Tahun 2021) yang telah dikeluarkan.

Katanya lagi, daripada peruntukan RM7.86 juta, sebanyak RM895,000 adalah dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), RM66,000 dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), MARRIS (RM3.34 juta) dan MBI (RM3.56 juta).

“Kerja-kerja itu melibatkan tujuh kategori pengkhususan/kod bidang iaitu CE21 iaitu kejuruteraan awam menawarkan 67 kerja, CE42 kerja mengecat jalan (7), B14 kerja mengecat bangunan (7), B24 kerja penyelenggaraan bangunan (6), KKM 070201 membekal tanaman pokok (3), KKM 221402 Pengindahan kawasan (6) dan KKM 080101 membekal kelengkapan kemudahan awam (1),” katanya di sini, hari ini.

MBI telah memaparkan notis kerja undi itu melalui medium Portal Majlis, Facebook dan juga Tweeter. Pendaftaran atas talian telah mula dibuka mulai 13 Julai 2021 (Selasa) tepat jam 8.00 pagi dan berakhir pada 22 Julai 2021 Khamis jam 12.00 tengahari.

Menurutnya, terdapat penyertaan kontraktor yang terpaksa ditolak, antaranya adalah disebabkan berdaftar dalam Gred G2 dan tiada bidang pengkhususan CIDB yang telah ditetapkan dan koding yang bersesuaian dengan KKM.

MBI berharap dana itu akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Perak lagi meringankan beban rakyat khususnya kontraktor G1 yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.